Program Mesra Siswa Perdana 2016
19 April 2016 | Aktiviti TerkiniKETEREH, 18 April – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, program Mesra Siswa Perdana 2016 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (KHADAM) yang diadakan selama empat hari dan bakal berakhir esok ternyata mencapai sasarannya.
Ujarnya, Parlimen Ketereh dikenali sebagai pusat koridor ilmu dan kerana itu beliau mahu memberikan pendedahan kepada penduduk luar bandar bahawa betapa pentingnya pendidikan.
"Program yang diadakan buat kali kedua ini lebih mesra rakyat… kita mahu rakyat luar bandar dapat memahami apakah yang cuba disampaikan dan sedar betapa pentingnya pendidikan demi masa hadapan.
"Saya amat berpuas hati dengan perjalanan program ini dan amat berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya," katanya kepada UMNO-Online di sini.
Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi MARA merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), program yang diadakan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Ketereh ini bukan sahaja melibatkan mahasiswa daripada 20 universiti tetapi juga melibatkan agensi kerajaan dan penduduk kampung.
Secara tidak langsung jelasnya, beliau dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana Jawatankuasa Kampung bergerak mendekati rakyat.
"Bukan sahaja saya dapat melihat jawatankuasa kampung menjalankan tugas malah saya dapat mendekati pengundi saya dengan lebih baik tanpa ada jurang. Malah mahasiswa juga dapat saya dekati dan mendalami apakah kehendak mereka sebenarnya.
"Kita sedar, bila kita ada pangkat maka akan wujudnya jurang terutama di kalangan anak muda yang tidak suka sekiranya pemimpin mereka terlalu sukar untuk didekati. Oleh itu melalui program ini ia mencapai sasaran serampang dua mata," jelasnya lagi.
Antara program yang dijalankan sepanjang berlangsungnya program ini adalah Karnival Pendidikan dan Keusahawanan, gotong-royong, bengkel seni budaya, program ziarah kasih, seminar keibubapaan, forum perdana, program motivasi, pemeriksaan kesihatan dan sukan rakyat.
Selain itu, turut diadakan gerai pameran beberapa agensi kerajaan untuk pelbagai aktiviti dan khidmat nasihat kepada orang ramai. Gerai jualan daripada usahawan tempatan dan MARA juga dibuka kepada pengunjung.
Pasukan Jelajah Pendidikan Bumiputera turut membuka kaunter untuk pelajar lepasan sekolah yang tidak dapat menyambung pelajaran bagi program pra diploma melalui institusi tempatan yang sedia bekerjasama bagi membantu mereka.
Majlis penutup program yang bakal berakhir esok ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: